N995
30,111 Orang Pekerja Diberhentikan
Seramai 30,111 orang pekerja sektor pembinaan telah diberhentikan sejak negara terjebak dalam kemelesetan ekonomi Oktober tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, daripada jumlah itu, 75 peratus atau 22,583 orang daripadanya adalah pekerja tempatan manakala selebihnya pekerja asing.
Bagaimanapun, katanya, kadar pemberhentian kerja di negara ini tidak terlalu kritikal kerana hasil kerjasama antara kementerian dengan beberapa syarikat pembinaan awam dan swasta berjaya membuka kira-kira 36,000 peluang pekerjaan baru dalam pelbagai sektor.
“Daripada jumlah pekerja tempatan yang dibuang kerja, 11,144 daripadanya berjaya mendapat semula kerja dalam tempoh yang singkat.
“Selebihnya pula ada yang dihantar mengikuti latihan kelolaan kementerian supaya mereka boleh mendapat kemahiran lain dan mempunyai peluang dalam sektor berlainan,” katanya.
Maznah berkata, kementerian sentiasa mengambil berat mengenai pemberhentian pekerja ini dan mendaftarkan semua nama ke dalam laman web Job Malaysia untuk mengisi kekosongan.
Jelasnya, mana-mana majikan tidak dibenarkan membuang pekerja mereka tanpa memaklumkan kepada kementerian terlebih dahulu untuk memastikan kebajikan pekerja-pekerja ini terjamin.
“Semua majikan di negara ini yang ingin membuang pekerja mereka perlu menghubungi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) terlebih dahulu dan JTK akan menghantar pegawai memastikan punca utama majikan bertindak demikian.
“Sekiranya kita berpuas hati dengan alasan yang diberikan maka semua nama ini akan diambil untuk penjodohan jawatan dan latihan,” jelasnya.
(Sumber : Utusan Malaysia)
Leave a Reply