Memartabat Bahasa Melayu Akan Mengangkatnya Kembali Sebagai Bahasa Ilmu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong penuh pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) berikutan langkah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, dengan pelaksanaan itu Bahasa Melayu akan kembali diangkat sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris.
“Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa ilmu di Malaysia lebih daripada 30 tahun dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah malah telah melahirkan ramai golongan profesional yang berjaya,” katanya.
“Walaupun hampir 90 peratus bahan rujukan di Malaysia dalam bahasa Inggeris, namun pelajar kita mampu memahaminya meskipun menghadapi masalah bertutur di dalam bahasa Inggeris,” kata beliau.
Tambah Termuzi dalam misi memperkasakan bahasa Inggeris, bahan rujukan bahasa Inggeris tidak akan diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa Melayu bagi mengekalkan ketulenan karya dan memudahkan pembelajaran pelajar.
Beliau berkata Bahasa Melayu merupakan bahasa yang kelima tertinggi digunakan di dunia dan sebanyak 117 universiti dari 35 buah negara, kebanyakannya di Eropah Timur menggunakan dan mempelajari Bahasa Melayu.
Kini, Malaysia sudah setaraf dengan negara Eropah Timur yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang perlu dikuasai, kata beliau.
(Sumber : BERNAMA)
Filed under: Berita on July 22nd, 2009
Leave a Reply