UPSR Tetap Akan Diteruskan
Kerajaan belum membuat keputusan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingannya.
“Mungkin kepentingannya dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan.
“Transformasi akan dilakukan terhadap UPSR dengan memasukkan elemen lain seperti mata pelajaran Sejarah sebagai kayu pengukur bagi menilai prestasi murid,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya sedang mengambil pendekatan baru dari segi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi apa yang dipanggil sistem berasaskan sekolah, yang sedang disusun oleh kementeriannya.
“Kita nak melaksanakan umpamanya bagaimana nak mengelakkan sistem pelajaran kita terlalu berorientasikan peperiksaan … Kita nak melihat pendekatan secara lebih seimbang,” katanya.
(Sumber : BERNAMA)
* * * * Untuk Post Baru dan Informasi Terkini, Sila Klik :
******************************************************
Filed under: Berita on July 20th, 2009
Leave a Reply